Sila Klik Pada Iklan

Search This Blog

Saturday, February 26, 2011

Apabila seorang raja gagap




IDEA itu sangat penting dalam membina sebuah cerita bagi memungkinkan lahirnya sebuah maha karya atau 'masterpiece'. Melihat seorang raja di sebuah empayar ternama yang cakap-cakapnya tergagap-gagap dan ucapannya tersangkut-sangkut, ia sudah cukup merimaskan.


Tapi itulah kejujuran dan keberanian pembikin filem di Barat yang tidak segan silu mendedahkan apa yang berlaku di dalam kedaerahan yang terlarang atau lebih tepat lagi institusi diraja mereka sendiri.




Ia terkandung dalam sebuah filem yang akhirnya sempat saya tonton dalam kesibukan tugas iaitu The King's Speech lakonan cemerlang Colin Firth, Geoffrey Rush dan Helena Bonham Carter. Sebab utama kenapa saya hendak menonton cerita itu tidak lain daripada ia menerima pencalonan Oscar bagi beberapa kategori penting selain kejayaannya dalam Golden Globe.


Mungkin Birtie (Colin Firth) yang asalnya Duke of York tidak begitu popular seperti raja dan ratu lain di England, tapi dia menjadi penting apabila perlu menaiki takhta selepas ayahandanya, King George V, mangkat. Kekanda Birtie Edward yang sepatutnya menaiki takhta menjadi raja akhirnya mengundur diri selepas berkahwin dengan seorang wanita Amerika.



Jadi dalam tekanan dan rasa kekurangan kerana gagap yang kronik, Birtie terpaksa berjuang mengatasi kelemahannya dengan bantuan seorang pakar terapi yang akhirnya menjadi sahabatnya, Lionel Logue (Geoffrey Rush). Apakah erti persahabatan boleh mengikis ego dan malu seorang raja?


Itulah jus cerita The King's Speech yang saya kira sangat genius daripada jiwa pengarahnya, Tom Hooper. Walaupun ia kisah dalam istana, masalah seperti Birtie itu boleh berlaku kepada sesiapa saja. Lakonan Colin memang meyakinkan dan mampu menyesakkan dada saya, tetapi ia berakhir dengan satu kelegaan dan 'victory'. Mesej penting di sini - gagap tidak kenal kasta.


Keindahan filem ini juga bukan kerana temanya semata-mata, tetapi juga dari sudut lakonan, lakon layar, sinematografi dan juga penataan kostum klasik. Dekorasi dalaman Istana Buckingham tampak hebat dan ia mengembalikan ingatan saya kepada produksi mengagumkan The Queen lakonan Helen Mirren sebagai Queen Elizabeth. Namun, filem itu tidak terlalu jauh jaraknya dengan zaman sekarang sedangkan The King's Speech mengambil latar zaman Adolf Hitler dan Winston Churchill.


Bertitik-tolak daripada 'kekurangan' seperti jongang, juling, pekak, gagap dan bermacam lagi, sesebuah karya itu seharusnya menjadi sesuatu yang menaikkan semangat tontonan (inspiring). Itulah nilai positif The King's Speech yang saya anggap melayakkan ia menerima pencalonan Oscar.

Baiklah, biarkan saja juri di Hollywood menentukan siapa yang hebat di pentas Academy Awards Ke-83, awal pagi Isnin ini (Ahad waktu Holywood). Sama ada filem terhebat milik The King's Speech, Black Swan, The Social Network atau mana-mana jua filem, anugerah yang usianya lebih tiga suku abad itu terus berjaya melahirkan karya yang unggul.

Melihat kepada penceritaan sebegitu, kita sendiri kalau dibenarkan, boleh juga menghasilkan filem yang mengenai pergolakan yang berlaku dalam keluarga diraja. Namun, sebagaimana yang kita tahu ia bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan dan memerlukan restu banyak pihak atasan. Kita akur Barat lebih terbuka dalam soal berkarya.


Dalam konteks kita, cubalah kita bayangkan bagaimana hebatnya kisah seperti seniwati Norizan, jelitawan yang suatu ketika pernah meninggalkan istana demi mengejar cintanya kepada Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee.





Hanya sedikit daripada cebisan kisah itu digambarkan dalam pementasan P Ramlee The Musical lakonan Melissa Saila di Istana Budaya tidak lama dulu. Rasanya kalau di Hollywood, kisah sebegitu tentu akan menjadi satu sudut penceritaan yang sungguh dramatik dan mendebarkan. Dari istana demi mengejar cinta, akhirnya Norizan dan P Ramlee bercerai manakala Norizan kembali hidup seperti orang biasa. Siapa tahu, mungkin satu hari nanti kita dapat melihat seumpama itu di layar perak!


 Sumber: MyMetro.

Hati yang Ikhlas tidak akan terkesan oleh pujian mahupun kejian.. Jagalah hati, jangan kau kotori. Jagalah hati, permata hidup ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sila Klik Pada Iklan